Akan tiba masanya anda mungkin memilih untuk menyahaktifkan atau memadam Akaun Riot anda dan kami faham (walaupun kami berat hati untuk melepaskan anda). Tetapi anda perlu tahu, dalam masa depan berbilang permainan ini, Akaun Riot anda mempengaruhi setiap permainan Riot yang dihubungkan dengannya. Jika anda mengambil tindakan untuk memadam akaun "League" anda dan meninggalkan permainan selama-lamanya, anda juga mungkin akan kehilangan akaun VALORANT, Wild Rift, dan Legends of Runeterra anda secara kekal. Kami tahu perkara ini agak berat, jadi untuk pastikan anda cukup faham tentang semua maklumat yang diperlukan, jom kita bincangkan tentang memadam dan menyahaktifkan akaun.

Apakah perbezaan antara pemadaman akaun dan penyahaktifan akaun?

Pemadaman akaun akan memadamkan semua maklumat peribadi yang berkaitan dengan akaun anda secara kekal. Anda tidak akan dapat mengakses akaun itu lagi, dan setelah akaun dipadam, tiada cara untuk mengembalikannya.

Penyahaktifan akaun akan mengehadkan akses ke akaun anda, tetapi semua data akaun anda akan kekal tidak berubah. Tiada sesiapa yang boleh log masuk ke akaun tersebut semasa akaun dinyahaktifkan, dan maklumat anda akan kekal dalam pangkalan data kami. Proses ini boleh dibatalkan pada bila-bila masa atas permintaan anda. Sila ambil perhatian bahawa penyahaktifan akaun TIDAK menghalang rank anda daripada merosot.

Penyahaktifan Akaun

Bagaimanakah cara menyahaktifkan akaun saya?

Sebelum anda memohon untuk menyahaktifkan akaun, sila tahu bahawa tiada masalah untuk membiarkan akaun anda kekal aktif walaupun anda tidak bercadang untuk menggunakannya. Akaun anda tidak akan dipadam atau terjejas dengan apa-apa cara jika dibiarkan aktif.

Jika anda ingin menyahaktifkan akaun anda, sila hantar tiket kepada Sokongan Pemain. Kami mengesyorkan agar anda memadam sebarang maklumat pembayaran daripada akaun anda sebelum kami menyahaktifkannya.

Pemadaman Akaun

Berapa lama masa yang diambil untuk memadam akaun?

AMARAN

Akaun anda akan dipadam 30 hari selepas permintaan anda, dan anda tidak akan dapat mengaksesnya sepanjang tempoh ini.

Jika anda berubah fikiran selepas menghantar permintaan pemadaman, sila balas mesej automatik yang dihantar ke e-mel berkaitan anda secepat mungkin. Jika anda tidak memaklumkan kepada kami sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh pemadaman, kami tidak akan dapat menyelamatkan akaun anda.

Pemadaman Akaun dan Permintaan Data

Jika anda ingin membuat permintaan data untuk akaun anda, pastikan anda melakukannya sebelum memadamkannya. Ikut sahaja panduan kami pada Meminta Data Akaun Anda.

Bolehkah saya menggunakan semula nama pengguna, ID Riot, Nama Summoner atau alamat e-mel saya selepas akaun saya dipadam?

Selepas pemadaman dimuktamadkan, nama pengguna, ID Riot, Nama Summoner, dan alamat e-mel anda semuanya boleh digunakan untuk akaun baharu. Tetapi sila berhati-hati! Jika orang lain mahu masuk campur dan menggunakan maklumat itu untuk diri mereka sendiri, tiada apa yang boleh menghalang mereka.

Bagaimana cara saya memohon untuk memadam akaun saya?

Memadam akaun anda merupakan satu keputusan besar, tetapi prosesnya sangat mudah. Jika anda pasti ingin meneruskan, pergi ke halaman Memadam Akaun Riot Anda dan Semua Data Anda untuk memulakan proses. Sebagai peringatan terakhir, sila ambil maklum bahawa pemadaman akaun adalah kekal sepenuhnya.

Jika anda menghadapi masalah dengan proses di atas, anda juga boleh menghantar tiket bersama maklumat berikut: 

JENIS PERMINTAAN: Pengurusan, Permintaan Data atau Pemadaman Akaun

SUBJEK TIKET: Pemadaman Akaun

  • Nama Akaun (yang anda gunakan untuk daftar masuk ke klien League, VALORANT, Legends of Runeterra, dll.)
  • Nama Summoner (jika berkenaan)
  • Pelayan yang anda gunakan semasa bermain
  • Tarikh penciptaan akaun
  • Lokasi anda mendaftarkan akaun tersebut (Bandar, Negara)
  • Alamat e-mel yang mula-mula digunakan untuk mendaftar akaun anda

Jika anda tidak dapat memberikan semua maklumat di atas, kami mungkin perlu bertanya beberapa soalan kepada anda untuk mengesahkan pemilikan. Kami mengambil langkah ini untuk memastikan keselamatan semua akaun.