Apakah itu Art for RP?
"Art for RP" berasal dari suatu fasa dahulu ketika kami hanya menerbitkan League of Legends dan RP merupakan satu-satunya mata wang dalam permainan yang premium. Namun dengan pelancaran permainan kami yang lain, kami mengembangkan ini untuk menyertakan VALORANT, Teamfight Tactics, Wild Rift, Legends of Runeterra dan 2XKO. Jadi sekarang ia dipanggil "Seni untuk Mata Wang Dalam Permainan" supaya merangkumi semua aspek.
Apakah itu program Seni untuk Mata Wang Dalam Permainan?
Jika anda pernah mengidamkan skin baru yang menarik (atau kandungan lain!) tetapi mendapati anda sedikit kekurangan mata wang dalam permainan, program Seni untuk Mata Wang Dalam Permainan menggalakkan anda menghantar karya seni kepada Sokongan Pemain, yang kemudiannya akan menampung baki yang diperlukan sebagai balasan.
Siapakah yang mencetuskan idea Seni untuk Mata wang Dalam Permainan?
Menurut khabar angin Riot, ia bermula ketika seorang pemain menghubungi Sokongan Pemain dengan permintaan yang murni. Mereka hanya perlukan sedikit lagi RP untuk membeli skin yang diidamkan, dan tertanya-tanya sama ada Riot akan menampung baki tersebut sebagai balasan untuk sebuah karya agung MS Paint.
Selebihnya menjadi sejarah.
Bagaimanakah cara menyerahkan seni saya?
League of Legends/Teamfight Tactics - Pergi ke halaman serah tiket, pilih menu lungsur Hantar Seni ke Gamer Gallery dan lengkapkan borang tiket selebihnya.
VALORANT/Wild Rift/Legends of Runeterra/2XKO - Hantar tiket di halaman permainan yang berkaitan dan pilih:
- VALORANT: Soalan/Isu Dalam Permainan & Bayaran Balik Kandungan Dalam Permainan > Pilih VP Percuma untuk Permintaan Seni
- Wild Rift: Soalan/Isu Dalam Permainan & Bayaran Balik Kandungan Dalam Permainan > Pilih Soalan Permainan Wild Rift Umum
- Legends of Runeterra: Soalan/Isu Dalam Permainan & Bayaran Balik Kandungan Dalam Permainan > Pilih Memberikan syiling kepada pemain dalam LOR untuk penyerahan seni
Berapa banyak mata wang dalam permainan yang boleh saya dapat?
Tak banyak pun.
Sebenarnya, jumlahnya berbeza sedikit mengikut permainan, tetapi had sebenar dirahsiakan untuk mengekalkan semangat keseronokan dalam pertukaran ini. Jika anda hanya kurang sedikit sahaja, hantarlah tiket! Ketahuilah bahawa had ini adalah muktamad dan tidak boleh dirunding.
Apakah jenis seni yang boleh saya hantar?
Semua bentuk seni adalah sah: lukisan, puisi, karya seni, muzik, cosplay, fotografi… Kami suka melihat anda semua menjadi kreatif dan meneroka watak serta lore Riot, dalam apa jua medium pilihan anda!
Tapi ingat: kami hanya terima karya seni yang dihasilkan oleh anda sendiri. Jika anda mendakwa karya orang lain sebagai milik anda, permintaan anda akan ditolak. Lagipun, anda kena usaha sendiri! Jangan risau, karya seni anda tak perlu profesional, ia hanya perlu tulen.
Ingat untuk sentiasa beradab! Kami tidak menerima penyertaan yang tidak sesuai atau menyinggung.
Adakah anda menerima seni AI?
Tidak. Kami tidak menggunakan seni AI dalam produk kami, dan kami menilai penyertaan ini dengan piawaian yang sama. Perkara paling penting tentang penyerahan ini ialah hasil karya anda!
Apa yang akan berlaku kepada karya seni itu?
Ia menerima penghargaan yang sewajarnya, dan menceriakan hari semua yang melihatnya! Kadangkala, Rioter akan memilih karya kegemaran mereka untuk dicetak dan digantung dengan bangga di pejabat kami di serata dunia supaya seluruh warga Riot dan para pelawat dapat mengaguminya!
Berapa kerap saya boleh menghantar karya seni untuk mata wang dalam permainan?
Bukan semua orang ada bakat seni, jadi untuk memastikan keadilan untuk semua, anda hanya boleh dapatkan mata wang untuk karya seni anda dari semasa ke semasa. Kami mencadangkan supaya anda menunggu sekurang-kurangnya beberapa bulan antara permintaan, jadi harap bersabar! Jika anda membuat penyerahan berulang kali walaupun telah diminta untuk menunggu, anda mungkin akan kehilangan keupayaan untuk menyertai sepenuhnya.
